Salah Faham Tentang Doa Berbuka Puasa Bulan Ramadhan

salah faham tentang doa

Setiap amalan yang berbentuk ibadah khusus hendaklah diketahui sumber dalil serta penilaianya. Adakah ia benar telah datang daripada Rasulallah ataupun tidak. Kerana kita mengambil sikap bahawasanya, satu-satunya manusia yang tahu sama ada amalanya betul ataupun tidak, hanyalah Rasulallas SAW. Maka betapa pentingnya umat Islam bersikap teliti akan sumber sesuatu amal ibadat. Dalam pada itu, mungkin masih ramai yang salah faham tentang doa berbuka puasa yang biasa diamalkan di bulan ramadhan.

Doa merupakan amalan umum yang boleh dilakukan oleh setiap muslim dengan apa sahaja hajat, namun bacaan atau lafaz doa tertentu yang sudah ditetapkan haruslah dibaca berdasarkan apa yang diamalkan oleh Baginda. Sebagai contoh, doa sebelum dan selepas berbuka puasa. Persoalanya, adakah kita tahu bagaimana Baginda Rasulallah SAW mengamalkanya dan apakah bacaanya yang benar?

Amalan Berbuka Puasa Yang Biasa Dilakukan

  1. Doa sebelum berbuka (ada bacaan khusus)
  2. Berbuka
  3. Doa selepas berbuka

Amalan Berbuka Puasa Yang Sepatutnya

  1. Membaca bismillah…
  2. Berbuka
  3. Doa selepas berbuka

Mari kita lihat perbezaan amalan yang biasa dilakukan tetapi sebenarnya tidak menepati sunnah berbanding apa yang sepatutnya diikuti.

Doa sebelum berbuka yang biasa dibacakan tetapi salah ialah “Allahumma laka shumtu wa bika aamantu wa ‘ala rezekika afthortu” bermaksud: Ya Allah, kepada Mu aku berpuasa dan kepada Mu aku berbuka.

Ada juga bacaanya yang ditambah “birahmatika ya arharraahimin” bermaksud: dengan rahmat Mu wahai dzat yang Maha Penyayang.

Ada beberapa hujah yang membuktikan doa ini tidak berasal daripada Nabi.

  1. Lafaz doa ini diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud No.2358 kemudian telah dinilai semula oleh Syeikh Nashiruddin Al-Albani dalam Dhaif Sunan Abu Daud dan Irwaul Gholil. Al-Albani menilai riwayat ini sebagai hadis mursal kerana perawinya terputus setakat peringkat Tabi’in iaitu Mu’adz Bin Zuhrah. Ertinya tiada seorang pun sahabat yang pernah meriwayatkanya. Dalam ilmu hadis, mursal dikategorikan sebagai hadis dhaif.
  2. Hadis ini juga ada dikeluarkan dalam At-Thabrani dari Anas Bin Malik. Namun sanadnya terdapat perawih dhaif yang bernama Daud Bin Az-Zibriqan yang dikatakan seorang perawi matruk, Al Hafiz Ibnu Hajar dalam Al-Talkhis Al-Habir.

Oleh itu, apakah kita tidak perlu membaca apa-apa doa sebelum berbuka?

Jawapanya ialah; kita boleh membaca doa apa sahaja berdasarkan kehendak masing-masing. Kemudian, bacalah bismillah…sebelum berbuka. Tiada doa khusus sebelum berbuka seperti yang diterangkan di atas melainkan doa mengikut keinginan masing-masing. Ini kerana dalam satu riwayat Ibnu Majah, Abdullah Bin Amr Bin Ash r.a telah membaca doa tertentu sebelum berbuka puasa yang mana doa yang dibacakanya adalah untuk dirinya.

Dari Ibnu Abi Mulaikah (salah seorang tabiin), beliau menceritakan: Aku mendengar Abdullah bin Amr ketika berbuka membaca doa:

اللهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي

Allahumma Inni As-Aluka bi Rahmatika Al-Latii Wasi’at Kulla Syai-in An Taghfira Lii

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu, agar Engkau mengampuniku.” (Sunan Ibnu Majah, 1/557 dan Al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman, 3621)

Berdoalah apa sahaja yang baik-baik kerana doa dibulan ramadhan adalah mustajab.

Hadis Riwayat At-Tarmizi:

“ada tiga doa yang tidak tertolak; 1. Doa pemimpin yang adil, 2. Doa orang yang berpuasa sampai ia berbuka, 3. Doa orang yang dizalimi”

Setelah selesai berbuka, bacalah doa ini:

ذَهَبَ الظَّمَـأُ، وابْــتَلَّتِ العُرُوقُ، وثَــبَتَ الأَجْرُ إِن شَاءَ اللهُ

Dzahaba-zh Zama’u, Wabtalati-l ‘Uruuqu wa Tsabata-l Ajru, Insyaa Allah

“Telah hilang dahaga, urat-urat telah basah, dan telah diraih pahala, insya Allah.”

Inilah bacaan doa yang diamalkan oleh Rasulallah dibulan ramadhan apabila berbuka puasa. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, apabila beliau berbuka, beliau membaca: “Dzahaba-zh Zama’u, Wabtalati-l ‘Uruuqu wa Tsabata-l Ajru, Insyaa Allah” (HR. Abu Daud 2357, Ad-Daruquthni dalam sunannya 2279, Al-Bazzar dalam Al-Musnad 5395, dan Al-Baihaqi dalam As-Shugra 1390. Hadis ini dinilai hasan oleh Al-Albani)

Inilah yang sebenarnya amalan doa yang betul berdasarkan sumber dan penjelasan daripada para ulama. Diharap salah faham tentang doa berbuka puasa di kalangan kita dapat diperbetulkan. Islam tidak sekadar memandang niat yang ikhlas semata-mata tetapi mestilah seiring dengan cara yang dianjurkan sunnah Baginda SAW.

Wallahualam.

BERKAITAN: 7 Amalan Kesukaan Nabi Di Bulan Ramadhan