Pengislaman 3 Beradik Anak Puan Loh Mungkin Batal?

Pengislaman Tiga Beradik Mungkin Batal
Fahami kisah di sebalik dan fakta kes

Isu tiga beradik yang telah memeluk agama Islam dan juga berkaitan tuntutan Puan Loh terhadap hak penjagaan anaknya tidak terhenti apabila banyak spekulasi yang timbul akibat kekeliruan maklumat dan juga manipulasi sesetengah pihak telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat dalam negara. Tiada paksaan dalam memasuki agama Islam. Itulah asas yang diyakini oleh semua muslim. Namun dalam menilai isu ini, kita haruslah memahami keseluruhan kisah anak-anak Puan Loh dan juga status bekas suaminya atas kaca mata fakta dan undang-undang. Pengislaman tiga beradik yang sedang panas dibincangkan ini tidak harus dinilai atas sentimen atau emosi sahaja namun sebaiknya dinilai secara wajar dan disokong dengan fakta perundangan.

Penekanan mengenai fakta dan undang-undang amatlah penting kerana kes ini telah viral seluruh negara malah Puan Loh, iaitu ibu kandung kepada tiga beradik yang memeluk Islam itu kini mengambil tindakan undang-undang. Penglibatan Dr Maza sebagai Mufti Perlis yang terlibat mengenai isu ini secara langsung tentunya menggambarkan kredibiliti institusi yang didudukinya. Masyarakat juga disarankan agar dapat menilai isu ini secara rasional. Kami kongsikan secara ringkas kronologi dan fakta perundangan bagi membantu pembaca memahami isu ini seterusnya dapat menilai dengan wajar agar keharmonian dapat dicapai.

Latar dan Kronologi Mengenai Keluarga Puan Loh dan Tiga Orang Anaknya

Puan Loh Siew Hong merupakan berbangsa Cina yang menganut agama Hindu dan kini ibu tunggal kepada tiga beradik tersebut. Bekas suaminya, Nagahswaran Muniandi berbangsa India telah dipenjara di Machang, Kelantan atas kes dadah. Difahamkan bekas suaminya itu telah memeluk agama Islam. Tiga orang anak mereka iaitu dua anak kembar perempuan berumur 14 tahun dan seorang anak lelaki berumur 10 tahun.

Hubungan kedua ibu bapa beradik tersebut sememangnya tidak baik apabila Puan Loh dimasukkan ke hospital pada sekitar tahun 2019 kerana didakwa dicederakan oleh suaminya. Ketika itu, tiga anaknya telah diambil. Sekitar Julai 2019, Puan Loh mendapat perintah hak penjagaan interim (sementara) anak-anaknya itu, sementara menunggu isu penceraian dengan mantan suaminya itu dimuktamadkan. Disebabkan pandemik Covid-19, kes penceraian mereka di mahkamah telah tertunda. Pada bulan Mac 2021, Puan Loh akhirnya berjaya mendapat perintah penjagaan penuh (a full custody) anak-anak beliau dari mahkamah.

Pada sekitar Januari 2022, Puan Loh mendapati anak perempuanya berada di sebuah rumah perlindungan di Pulau Pinang, manakalah anak lelakinya berada di sebuah madrasah Tahfiz juga di Pulau Pinang. Keadaan ini mungkin disebabkan situasi hidup Puan Loh yang porak poranda dan didakwa menghilangkan diri. namun setelah mengetahui situasi anaknya, 9 laporan polis telah dibuat oleh Puan Loh berhubung haknya sebagai ibu dan 1 lagi laporan polis telah dibuat setelah mengesyaki anaknya berada di bawah jagaan pihak berkuasa agama di Utara semenanjung.

Respon Mufti Perlis Berhubung Pengislaman Anak Puan Loh

Pada 16 Feb 2022, Dr. Maza Mufti Perlis telah dilaporkan mengakui melalui sebuah video yang diposkan di Facebook dan YouTube, bahawa ketiga-tiga anak Puan Loh itu telah diislamkan oleh bapa mereka secara unilateral pada sekitar bulan Julai 2020 sebelum ayah mereka dilaporkan dipenjarakan atas pertuduhan kes dadah.

Selain itu, Dr. Maza juga ada menyatakan tiga beradik itu tidak mahu kembali kepada ibu mereka. Menurut laman rasminya juga, beliau menyatakan bahawa pengislaman tiga beradik tersebut adalah sah.

Pada 20 Feb 2022, Puan Loh berjaya menemui ketiga-tiga orang anaknya di sebuah lokasi yang tidak didedahkan. Satu rakaman video disebarkan dengan kenyataan anaknya ingin tinggal dengan ibu mereka.

Senario ini semakin kompleks namun terdapat percanggahan jelas di antara pihak Dr. Maza dan pihak Puan Loh berhubung niat tiga beradik berkenaan sama ada memilih untuk bersama ibu mereka atau sebaliknya.

21 Feb 2022, Puan Loh Siew Hong kini berjaya mendapat hak penjagaan penuh terhadap tiga anaknya atas perintah mahkamah selepas permohonan habeas corpus dibuat. Namun keputusan itu hanya berkenaan hak menjaga anaknya dan bukanya berkaitan dengan penukaran agama mereka.

Susulan daripada itu, Mufti Perlis tidak menentang keputusan mahkamah tersebut sebaliknya melahirkan kebimbangan mengenai tindakan Puan Loh yang mungkin merancang untuk menuntut penukaran agama anaknya ke agama Hindu semula. Beliau menyatakan keputusan mahkamah itu sudahpun dijangka, namun beliau melahirkan kerisauan sesetengah pihak yang menghasut Puan Loh untuk mencampuri isu status agama anak Puan Loh.

Daripada keseluruhan kronologi di atas, besar kemungkinan Puan Loh akan memfailkan tuntutan penukaran agama ketiga-tiga anaknya. Ini kerana kes pengisaman anaknya mempunya keupayaan perundangan untuk diambil tindakan.

‘Artikel 12 (4) PP menyebut ‘For the purpose of Clause (3), the religion of a person under the age of eighteen shall be decided by his parent or guardian’.

Klausa di atas jelas menyatakan bahawa agama seseorang yang berumur di bawah 18 tahun hendaklah dengan persetujuan ibu bapa (parent) mereka. Oleh kerana ibu bapa kanak-kanak tersebut masih hidup, persetujuan sehala (bapa) yang didakwa oleh Mufti Perlis mungkin bercanggah dengan klausa ini. Malah lebih jelas kanak-kanak ini masih di bawah umur 18 tahun. Pengislaman tiga beradik tersebut mungkin sah di sisi syariat namun tidak semestinya sah di sisi undang-undang Malaysia. Inilah fakta yang ramai pihak tidak ketahui dan tidak memahaminya.

Apakah Seterusnya?

“Keputusan mahkamah secara tegas cuma berkenaan isu memulangkan anak kepada ibu tapi tak sentuh isu lain sebab keputusan hari ini ada dalam keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, berkenaan penukaran agama tiada isu.

“Sehingga ke saat ini agama anak itu kekal seperti yang didaftarkan sehingga ada arahan lain seterusnya selepas ini,” Aidil Khalid – Peguam yang mewakili penjaga tiga beradik tersebut, Puan Nadzirah.

Kesimpulanya, status agama ketiga-tiga anak Puan Loh sehingga kini masih Islam. Namun pemerhati undang-undang berat menyatakan jika dicabar kemungkinan besar mempunyai hujahan yang kukuh kerana memiliki kes yang sama seperti kes M.Indra Ghani.