Kisah Banjir Dalam Al-Quran Pedoman Dan Sumber Keinsafan

kisah banjir dalam al-quran

Bulan Disember dan Januari merupakan musim hujan lebat di Malaysia. Hujan lebat yang berlaku selalu mengakibatkan banjir di beberapa kawasan dalam negara yang berkedudukan rendah. Air yang naik memasuki rumah sangat pantas lebih-lebih lagi hujan lebat dan air pasang laut berlaku serentak. Banjir di Malaysia bukan sahaja sesuatu yang baharu. Ia sudah menjadi kejadian alam yang sekian lama telah berlaku. Misalnya di Kelantan dan Kedah. Banyak catatan sejarah kejadian bah besar telah berlaku. Tahukah anda, banjir bukan sahaja beritan yang dicatat di malah wartawan dan rancangan berita, namun ia telah dicatat dalam Al-Quran. Kisah banjir dalam Al-Quran merupakan kisah yang sangat besar perlu dijadikan pedoman oleh seluruh manusia.

Kisah-kisah yang dicatat dalam Surah Hud (32-49), Surah Al-A’raf (65-72), dan Surah Saba’ (15-16) merupakan antara contoh kisah yang berkaitan langsung dengan bencana alam. Kisah yang dicatatkan dalam ayat-ayat ini menceritakan betapa kemungkaran dan penentangan manusia ke atas ajaran para Rasul telah ditimpa bala oleh Allah. Para Rasul yang membawa misi tauhid untuk menyelamatkan manusia kepada keimanan menyembah Allah yang esa ditentang oleh segolongan dan sedikit pula yang mengikutinya. Akibat dari keingkaran manusia untuk tunduk kepada menyembah Allah, dan saling mempersekutukan Tuhan kepada manusia itu sendiri, maka turunlah kerosakan yang tidak mampu lagi menyelamatkan nyawa mereka sendiri.

Sekali imbas kisah banjir dalam Al-Quran ini, termasuklah kisah-kisah bencana yang lain, dapatlah kita simpulkan bahawa kemurkaan manusia kepada al-haq, telah mengakibatkan turunya bala yang teramat dahsyat. Walaubagaimana pun, tidaklah terlalu mudah untuk kita sebagai orang yang beriman dan berakal untuk membuat kesimpulan sedemikian. Allah tidaklah kejam dan tidak pula bersifat bermusuhan kepada hambaNya. Sedangkan Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang. Terlalu banyak ayat yang menerangkan bahawa bala atau bencana yang tertimpa ke atas manusia adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri. Bencana alam yang meragut ribuan nyawa seperti mana yang dikisahkan dalam Al-Quran tidaklah berlaku secara tiba-tiba tanpa melalui prosesnya.

“Bukanlah Kami yang menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri, (disebabkan) citra (kondisi) lingkungan mereka tidak mampu menolong di saat banjir, bahkan mereka semakin terpuruk dalam kehancuran,” (Surah Hud: 101).

Alam semulajadi sudah mempunya aturanya tersendiri dan ia tidak dapat diubah. Ia disebut sebagai sunnatullah. Iaitu ketetapan yang sudah jelas. Sifat semulajadi dan berulang-ulang. Air mengalir, proses hujan, pembentukan awan dan sebagainya. Namun, apakah yang menyebabkan manusia tertimpahnya bala daripada Allah? Ayat di atas menerangkan betapa kesan daripada tangan-tangan manusia itu sendirilah yang menyebabkan diri mereka teraniaya.

“Dan janganlah kamu berbuat kerusakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Berdo’alah kepada-Nya dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan,” (Surah al-A’raf: 56).

Akibat daripada tangan-tangan manusia yang melampaui batas, meninggalkan ajaran Allah dan Rasul, maka bencana yang menimpa ke atas mereka sendiri telah menganiaya diri mereka. Saya katakan, pengeluwapan, pembentukan awan, dan turunya hujan, ia adalah sunnatullah yang sudah ditetapkan mengikut tempat dan masa. Manusia tidak mampu campur tangan ke atas  proses yang telah ditetapkan tadi. Meskipun teknologi kini menampakkan manusia mampu membuat hujan, namun ia kerana manusia faham proses hujan berlaku, maka manusia melakukan prosesnya, bukan mencipta. Manusia tidak mampu menurunkan hujan tanpa melakukan proses pembentukan awan. Awan pula tidak terbentuk tanpa prosesnya. Manusia hanya melakukan kerja seperti mana prosesnya yang telah difahami. Menukar air kepada wap, menukar wap kepada awan, ada awan maka adalah hujan. Manusia hanya memindahkan sesuatu kepada sesuatu yang lain, dan bukan mencipta! sepertinya menukarkan tenaga air (daya) kepada tenaga elektrik melalui proses tertentu. Maka manusia bukan mencipta elektrik.

Setelah ribuan tahun manusia menduduki bumi ini, manusia membesar dan mempelajari sifat-sifat hujan dan airnya yang mengalir, lebih-lebih lagi apabila mendalami ilmu ekologi, maka apa lagi alasan manusia untuk tidak berusaha mengelak bencana. Memelihara alam dengan tidak berbuat kerosakan adalah sifat ajaran Agama yang perlu diambil serius. Sedang adab perang dalam Islam juga melarang merosakkan tanaman, apatah lagi ekosistem yang membekalkan oksigen kepada manusia untuk hidup.

Bulan Disember dan Januari adalah bulan hujan lebat dan banjir. Meskipun ia sesuatu yang telah kerap berlaku, apakah manusia masih tidak mempelajarinya? Mengawal ekosistem hutan seperti mengurangkan pembalakan (lebih baik hentikan), memantapkan sistem saliran, menyedeiakan sistem pembetungan yang sistematik, mendidik masyarakat dan sebagainya adalah inisiatif yang kukuh untuk berhadapan dengan bencana banjir. Namun, apakah manusia sedar dan ambil pelajaran daripada kisah banjir dalam Al-Quran?

Mengapa manusia masih mengulang perbuatan-perbuatan yang melampaui batas ke atas alam dan pengurusan alam? Tidakkah jelas kisah banjir dalam Al-Quran itu cukup besar ibrahnya? Atau, manusia hanya seronok melantunkan bunyi bacaanya namun meletak belakang punggung pedomanya?