Kelebihan Puasa Hari Arafah Menurut Hadis Nabi

kelebihan puasa hari arafah

Apakah kelebihan puasa hari Arafah bagi umat Islam? Esok 9 Zulhijjah maka mereka yang berada di tanah suci akan menuju ke padang Arafah untuk menunaikan rukun kedua haji iaitu wukuf di Arafah. Bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji di sunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut. Perkara ini ada dijelaskan seperti sabda Nabi kita yang tercinta :

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ … أَهْلُ الْعِلْمِ صِيَامَ يَوْمِ عَرَفَةَ إِلَّا بِعَرَفَة

Dari Abu Qatadah bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: ” Puasa hari ‘Arafah -saya berharap dari Allah- dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya.” (HR Tirmizi No: 680) Status: Hadis Hasan.

Berdasarkan hadis di atas maka menjadi sunnah berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah) bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji di tanah haram Mekah.

Ganjaran bagi mereka yang berpuasa pada hari Arafah begitu besar dengan mendapat ganjaran keampunan setahun sebelum dan setahun selepas maka ganjaran puasa sunat Arafah seolah-olah berpuasa selama dua tahun. Dalam hadis yang lain Rasulullah ada menyebutkan seperti berikut:

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَلِمَةً تُشْبِهُ عَدْلَ ذَلِكَ قَالَ صَوْمُ عَرَفَةَ بِصَوْمِ سَنَتَيْنِ وَصَوْمُ عَاشُورَاءَ بِصَوْمِ سَنَة

Dari Abu Qatadah bahwa Nabi SAW mengucapkan kata-kata yang mirip dengan kesamaannya, ia berkata; Puasa ‘arafah seperti puasa dua tahun dan puasa ‘asyura` sama seperti puasa setahun. (HR Ahmad No: 21568)

Hebatnya peluang ganjaran pahala yang Allah berikan kepada mereka yang menunaikan haji namun peluang itu juga Allah berikan kepada mereka yang tidak mengerjakannya dengan puasa di hari Arafah.Ayuh sama sama kita beramal.semoga ia menjadi bekalan terbaik untuk kita nanti.

Perkongsian daripada
Ustaz Mohd Fakhrulrazi bin Mohd Mokhtar