Satu Hari Satu Ayat: Kafirkah Aku? Kebenaran Yang Terlarang

kafirkah aku?

Kafirkah aku? itulah persoalan yang wujud di minda seorang muslim yang hidupnya penuh tribulasi. Kebenaran itu selalu hadir dalam terlarang. Dalam menjelajahi kehidupan yang luas dan seperti tiada penghujung ini, dan hanya mati sahajalah yang menamatkan segalanya di dunia, hadirlah agama dan bimbingan yang dibawa sang Rasul, menerangkan kegelapan memberi cahaya, maka jelaslah kita bahawa tujuan ini hanyalah satu yakni tunduk dan patuh pada Sang Pencipta.

Insan manusia dianugerahkan akal yang cerdas dan mampu berfikir untuk segala sesuatu, belajar dan mencipta, membangun dan mengurus dunia, namun ia tetaplah pada kedudukannya yang terbatas di sisi sang Khalik. Ilmu itu umpama lautan luas namun tidaklah seberapa yang dimiliki para insan lemah ini.

Semasa kita membesar dan mulalah kita beribadat mengagungkan Tuhan Yang Maha Esa, maka di situ wujudlah keterbatasan sebagai seorang manusia memahami akan hakikat bahawa kebenaran itu dilihat berbeza-beza. Begitu keyakinan juga hadir perberingkat-peringkat. Semasa akal berbicara dan saling bertanya sesama sendiri bahawa bagaiman wajah rahsia itu dan bagaimana ia patut melekat di jiwa agar rahsia itu mampu diterjemah dalam bentuk kebenaran, maka lahirlah perilaku dan pemikiran yang berbeza-beza kerana insan itu tetaplah insan yang lemah. Hanya yang Esa sahaja yang wajib tunggal maka terhindarlah Ia akan kemungkinan perbezaan. Hakikatnya insan ini telah wujud ribuan tahun dan jutaan bilanganya. Disitulah perbezaan demi perbezaan tidak lagi dapat dielakkan.

Ketika hati berbicara dan bertanya, kafirkah aku? ia bukan sesuatu yang datang dari diri sendiri melainkan daripada sesama insan itu sebenarnya. Manusia yang saling selisih pikiran dan bergolak tangan-tanganya. Apakah harus mesti tunggal sedangkan yang wajib tunggal itu hanya Allah? Haramkah berbeza-beza sedangkan itulah hakikatnya?

Tiadalah mudah dan tidak pulah kita berupayah menentukan kedudukan iman seseorang melainkan Allah kerana apa yang disebut sebagai hati itu hanyalah mampu dilihat oleh Penciptanya. Apa yang jelas sebagai sifat seorang bergelar manusia itu adalah hakikat keterbatasanya untuk mengetahui kebenaran. Ada kalahnya begitu sukar untuk kita tegakkan kebenaran di hadapan insan-insan yang lain sedangkan mereka itu juga sama seperti mereka bahawa begitu punya keterbatasan memahami tentang apa yang kita usaha untuk tegakkan.

“wa tasimu bihablillah jami’a wala tafarraqu”

…maka berpegang teguhlah kamu akan tali (agama) Allah dan janganlah bercerai berai…

Seseorang yang mula dipersoal akan kedudukan imanya selalu sahaja berhadapan dengan ayat ini. Apakah ayat-ayat seagung ini begitu mudah dilempar kepada mereka-mereka yang berbeza memahami hakikat kebenaran berbanding kita? Murah sangatkah ayat Tuhan sebegitu diguna hanya semata menentukan kedudukan iman seseorang?

Seandainya agama ini wajib difahami secara tunggal, maka apalah ertinya rahmatan lil alamin? Kebenaran itu selalu wujud secara berbeza-beza di mata pandangan dan hati para manusia. Maka apakah sekiranya kefahaman orang lain berbeza dengan kefahaman kita mengenai kebenaran itu adalah sesuatu yang dilarang lalu kita pun pantas berhukum tentang kedudukan iman seseorang?

Kembalilah kita kepada pemilik alam ini dan jadilah hamba dan janganlah menjadi Tuhan. Usahlah berbicara akan ilmu yang hanya mampu dilaksanakan oleh Allah. Kafirkah aku? semoga kata ini terlarang di kalangan jiwa-jiwa para insan yang lemah.

BACA: Ujian Hidup