Hukum Wanita Hamil dan Menyusu Berpuasa Pada Bulan Ramadhan

hukum wanita hamil dan menyusu
bulan ramadhan

Sebagai muslim, sudah menjadi kewajiban untuk mengetahui ibadat mereka dapat diamalkan mengikut landasan syariat seperti mana yang telah terang dalam ajaran Rasulallah SAW. Bulan ramadhan bulan yang ditunggu-tunggu semakin hampir dan betapa perlunya bagi setiap muslim khususnya wanita mengetahui jawapan daripada segenap persoalan fekah mengenai ibadat dalam bulan berpuasa. Antara yang sering menjadi persoalan di kalangan muslimah ialah hukum wanita hamil dan menyusu di bulan puasa.

Tarikh Mula Puasa Ramadhan 2018

Persoalan ini telah lama dijawab oleh ahli fekah. Banyak kitab dan rujuk boleh diperolehi untuk mengetahui jawapan tepat mengenai hukum wanita hamil dan menyusu di bulan ramadhan.

Jawapan:

1. Fuqaha (sarjana fekah) bersepakat bahawa wanita hamil dan menyusu boleh berbuka puasa mereka jika tidak mampu. Bahkan wajib untuk mereka berbuka jika membahayakan diri ataupun anak ataupun janin.

2. Adapun gantian bagi puasa yang mereka buka itu merupakah masalah khilafiyyah yang para fuqaha berbeza pendapat mengenainya. Ada yang mewajib qada dan kifarah seperti Mazhab Syafie dan Hanbali. Di samping mereka membezakan antara berbuka puasa kerana bimbang keselamatan diri dan keselamatan anak. Ada yang mewajibkan qada sahaja di mana mereka seperti keadaan orang yang sakit. Ini pandangan Sufyan al-Thauri, Mazhab Hanafi dan lain-lain. Ada yang memberi pilihan antara qada dan kifarah seperti pandangan Ishaq bin Rahuyah (atau dibaca Rahawaih) seperti yang disebut oleh al-Imam al-Tirmizi dalam sunannya. Ada yang tidak mewajibkan qada dan tidak juga kifarah seperti Mazhab Ibn Hazm al-Andalusi dan ini dianggap ganjil oleh sesetengah ulama.

3. Ya! di sana sebenarnya ada pandangan dari dua tokoh ilmuwan sahabat Nabi iaitu ‘Abdullah bin ‘Abbas dan ‘Abdullah bin ‘Umar telah berfatwa dengan fatwa yang meringan bebanan wanita yang mengandung dan menyusukan anak tanpa mengira samada wanita itu kerap mengandung ataupun tidak. Menurut mereka berdua wanita yang mengandung dan menyusu jika buka puasa kerana bimbang keadaan diri ataupun anak hanyalah perlu membayar fidyah (beri makan orang miskin) tidak wajib qada (ganti) puasa.

4. Dalam riwayat al-Tabari dengan sanad yang sahih Ibn ‘Abbas menyebut:

إذا خافت الحامل على نفسها ، والمرضع على ولدها في رمضان قال : يفطران ، ويطعمان مكان كل يوم مسكينا ، ولا يقضيان صوما

“Jika wanita hamil bimbang terhadap dirinya, wanita menyusu bimbang terhadap anaknya pada bulan Ramadan maka dia boleh berbuka serta ganti setiap hari dengan memberi makan orang miskin dan tidak perlu ganti puasa”
Dalam riwayat al-Daraqutni dengan sanad yang sahih, Ibn ‘Umar atau Ibn ‘Abbas berkata:

الْحَامِلُ وَالْمُرْضِعُ تُفْطِرُ وَلَا تَقْضِي

“Wanita yang hamil dan menyusu boleh berbuka tak perlu qada”

Dalam riwayat sahih al-Daraqutni juga:

أنَّ امْرَأَتَهَ , سَأَلَتْهُ وَهِيَ حُبْلَى , فَقَالَ: أَفْطِرِي وَأَطْعِمِي عَنْ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا وَلَا تَقْضِي

“Isteri Ibn ‘Umar yang hamil bertanya tentang puasanya, jawab Ibn ‘Umar: “Kamu boleh buka dan beri makan setiap hari seorang miskin, tidak perlu qada (ganti puasa)”.

5. Maka wanita yang menyusu atau hamil itu jika mampu berpuasa, maka wajib mereka berpuasa. Jika tidak mampu mereka boleh berbuka dan diganti pada hari yang lain. Jika dia sekadar mengganti puasa sahaja, maka itu juga memadai. Ini pendapat yang dipilih oleh sebahagian para ulama. Jika keadaan yang sukar seperti dia sentiasa mengandung dan menyusu saban tahun disebabkan kekerapan anak dan menggantikan puasa menjadi beban untuk dihimpunkan selepas itu, maka jika dia sekadar membayar fidyah sahaja, maka itu merupakan salah satu pendapat fekah yang boleh diamalkan. Islam itu bersifat mudah dan memberikan kelonggaran kepada mereka yang kesusahan.

6. Maka, fatwa Ibn ‘Abbas dan Ibn ‘Umar itu lebih memudahkan kaum wanita yang mengandung yang biasanya memakan masa selama 9 bulan kemudian kemudian diikuti dengan kelahiran dan menyusukan anak pula selama 2 tahun. Jika mereka diwajibkan qada tentu satu yang agak membebankan untuk menghimpunkan semua yang mereka tinggal dalam tempoh tersebut. Apatahlagi jika tahun berikutnya mereka mengandung lagi.

Hukum Wanita Hamil dan Menyusu di bulan Ramadhan, dipetik daripada page rasmi Mufti Perlis.

Sumber