Hukum Memakan Telur Asin Yang Tidak Dibasuh Sewaktu Penyediaannya

hukum memakan telur asin

Hukum Memakan Telur Asin. Ini pandangan Dr. Rozaimi:

Isu telur asin adalah sama ada ia najis atau tidak sekiranya penyediaanya dilakukan tanpa dibasuh. Ini juga sama seperti telur ayam. Isu ini berfokus telur yang tidak terzahir najis haiwan (ayam atau itik) padanya namun tidak dibasuh sebelum dimasak atau penyediaanya.

Pokok persoalan telur asinĀ ialah, adakah lendiran yang keluar dari haiwan (ayam atau itik) yang bertelur itu najis atau tidak sehingga wajib kita cucinya sebelum memasak?

Jawapan:

  1. Majoriti ulama berpandangan lendiran di kemaluan haiwan tersebut tidak najis. Ini bermakna telur yang terhasil tidak wajib untuk dibasuh selagi mana ia tidak terkena najis. Namun begitu, ulama menggalakkan dibasuh sekadar untuk membersihkanya. Namun, jika tidak dibasuh, ia tidak menjadikan telur itu haram dimakan. Ini adalah pandangan dari mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali, dan pandangan paling sahih dalam mazhab Syafie menurut Imam Nawawi (Radd Al-Muhtar, Jil 1. Hal 377, al-Majmu’ Jil. Mughni al-Muhtaj, Jil 1. Hal. 81, al-Hawii lil Fatawi, Jil 1. Hal 12-13)
  2. Sebahagian ulama mazhab Maliki berpandangan meskipun ada najis haiwan pada telur tersebut ia tidak menjadikanya haram untuk dimakan meskipun kulitnya tidak dibasuh. Ini kerana mazhab Maliki beranggapan tahu haiwan yang dagingnya halal untuk manusia makan adalah tidak najis. (Mawahib al-Jalil, Jil 1. Hal. 302). Namun mazhab Syafie menganggap tahi haiwan tersebut adalah najis.
  3. Dalil bagi pandangan di atas ialah diqiyaskan dengan janin yang keluar dari laluan qubul haiwan. Ijmak ulama mengatakan ia tidak wajib dibasuh.
  4. Sebahagian ulama mazhab Syafie menganggap kulit terlur yang bernajis adalah wajib dibasuh. Lendiran di kemaluan haiwan adalah najis. Lendiran ini najis kerana terbit dari tempat najis. Namun ini tetap tidak menjadikan telur haiwan tersebut haram dimakan. Hanyasanya setelah dibasuh.

Kesimpulan:

  1. Tiada nas syara’ yang jelas mewajibkan kulit telur dibasuh kerana ia bersifat ‘umum al-Balwa.
  2. Jika dibasuh ia lebih baik namun tidaklah haram memakanya meskipun tidak dibasuh selagi tidak terzahir padanya najis di kulit telur.