Cara Bayar Fidyah Dan Kiraannya Mengikut Kadar Di Malaysia

cara bayar fidyah dan kiraannya

Puasa di bulan ramadhan merupakan salah satu rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim. Ia bukan sahaja ibadah semata-mata namun ia merupakan pembuktian keimanan kepada Allah SWT. Namun bagaimanakah sekiranya puasa ditinggalkan sama ada sengaja ataupun tidak sengaja (keuzuran). Allah yang Maha Pengampun sentiasa membuka ruang taubat kepada hambanya. Oleh itu, puasa yang ditinggalkan boleh diganti sama ada dengan berpuasa atau membayar fidyah. Bagi mereka yang menggantikan puasa dengan bayaran fidyah, berikut adalah cara bayar fidyah dan kiraannya mengikut jumlah hari dan tahun yang ditinggalkan.

Kewajipan Menggantikan Puasa Firman Allah SWT:

“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain, dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa).”

(al-Baqarah: 184)

Baca: Lafaz Niat Ganti Puasa Ramadhan

Siapa Yang Wajib Membayar Fidyah?

  1. Orang yang melambatkan ganti puasa (qada’). Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
  2. Orang yang uzur dari melakukan ibadah puasa. Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali. Fidyah dikenakan pada tahun Ramadan yang sama.
  3. Wanita hamil yang bimbang keselamatan dan kesihatan bayi. Tidak berpuasa kerana bimbang  akan keselamatan bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Jika telah tiba Ramadan tahun berikutnya, wanita ini dikenakan fidyah lagi kerana lewat menggantikan puasa.
  4. Wanita hamil yang bimbang kesihatan dirinya. Hendaklah menggantikan puasa. Jika masih tidak diganti sehingga tiba Ramadan berikutnya barulah fidyah dikenakan kerana lewat menggantikan puasa.
  5. Ibu yang menyusukan anak. Tidak berpuasa kerana merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Golongan ini dikenakan membayar fidyah sebaik habis Ramadan pada tahun yang sama dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Jika telah tiba Ramadan tahun berikutnya, wanita ini dikenakan fidyah  kerana lewat menggantikan puasa.
  6. Orang yang telah meninggal dunia. Fidyah meninggalkan puasa bagi orang yang telah meninggal dunia boleh dilakukan oleh waris -warisnya jika bilangan hari tidak berpuasa diketahui sebelum pembahagian pusaka dibuat.

Cara Bayar Fidyah Dan Kiraannya Di Malaysia

Di Malaysia bayaran fidyah dilaksanakan melalui agensi yang sudah dilantik iaitu Pusat Zakat di negeri masing-masing seperti:

Berikut adalah kiraan fidyah di Malaysia.

  1. Kadar Fidyah
  2. Bilangan Hari Tidak Puasa
  3. Bilangan Tahun (tahun gandaan)

Kadar Fidyah X Bilangan Hari Tidak Puasa X Bilangan Tahun

Kadar Fidyah = Mengikut ketetapan negeri masing-masing.

Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk).  Nilai fidyah bagi satu hari tidak berpuasa boleh dikira berdasarkan nilai Zakat Fitrah yang telah ditetapkan.

Zakat Fitrah bagi seorang ialah bersamaan 1 gantang Baghdad iaitu 2.7 kilogram.

Fidyah bagi satu hari ialah 1 cupak beras iaitu 675 gram.

Bermakna, kadar fidyah ialah ¼ daripada kadar fitrah pada tahun tersebut (mengikut negeri).

Oleh yang demikian, jika kadar Zakat Fitrah ialah RM7.00, secara langsung kadar Fidyah ialah RM1.75 atau RM1.80 (1/4 X RM7.00).

Tahun Gandaan = bilangan tahun puasa itu telah ditinggalkan tolak satu tahun kerana tahun pertama adalah tahun dibenarkan mengganti puasa. Hanya setelah tiba Ramadan berikut jika masih tidak berganti, barulah fidyah dikenakan.

Contoh Kiraan:

Puan Maria tidak mampu berpuasa selama 10 hari pada bulan Ramadan kerana mengalami alahan teruk semasa mengandungkan bayinya. Keadaan bayi adalah sihat, Cuma kesihatan beliau yang terganggu. Hanya setelah 3 tahun barulah Puan Maria dapat menggantikan puasa tersebut.

Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan) X Kadar fidyah(cupak)

10 hari X (3 Tahun – 1 Tahun) X RM1.80 = RM36.00 (FIDYAH)

Peringatan Penting:

Bagi mereka yang tidak menghadapi apa-apa keuzuran untuk menggantikan puasa sebelum tiba pada ramadhan seterusnya hendaklah membayar fidyah dan menggantikan puasa sekaligus mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Fidyah + Puasa Ganti.


Hukum Membayar Zakat Di Negeri Lain