Masalah Pendatang Asing Sabah Pendedahan Seorang Peguam

masalah pendatang asing sabah

MASALAH PENDATANG ASING SABAH

Senario pendatang awam tanpa izin di Sabah bukanlah sesuatu yang baru. Ini berikutan kesan ke atas sejarah dan demografi negeri Sabah yang sukar untuk dielakkan selain daripada komitmen ke atas penguatkuasaan undang-undang.

Kolum Politik Harian Tanah Air

Berikut dikongsikan pendedahan masalah pendatang asing Sabah oleh seorang peguam melalui FB.

Tulisan saya agak panjang kali ini, tetapi ia sekadar senario ringkas untuk memberi kefahaman asas tentang konflik Orang Tanpa Negara di negeri Sabah. Mohon dikongsi agar lebih ramai memahami isu ini.

Orang Tanpa Negara (OTN). Isu ini sering disalah faham dengan Pendatang Tanpa Izin (PTI), imigran ataupun pelarian. Hakikatnya ia adalah perkara yang jauh berbeza. Menurut Konvensyen Tahun 1954 Berkenaan Orang Tanpa Negara, UNHCR mendefinasikan stateless sebagai“who is not considered as a national by any State under the operation of its law” . Secara mudahnya ia bermaksud kewujudan mereka tidak diiktiraf dan tidak mempunyai sebarang hak dari segi undang-undang, termasuk hak memiliki identiti ataupun nama, harta milikan, pendidikan, akses kepada perkhidmatan kesihatan dan apa jua hak . PTI, imigran mahupun pelarian mempunyai negara asal, yang membezakan mereka dengan OTN yang tidak mempunyai negara.

Selain Artikel 1954, terdapat satu lagi konvensyen yang berkaitan dengan orang Tanpa Negara iaitu Konvensyen 1961 Berkenaan Pengurangan Ketanpanegaraan. Seperti konvensyen antarabangsa lainya, ia tidak mempunyai kuasa mengikat negara yang tidak merektifikasikan konvensyen tersebut . Setakat hari ini 80 negara telah menandatangani konvensyen 1954 dan 67 negara bagi Konvensyen 1964, Malaysia tidak menandatangani kedua-duanya.

Untuk memahami isu Orang Tanpa Negara di Sabah, kita perlu untuk memahami sejarah, peta geografi dan sosiobudaya. Sebelum kewujudan negara-negara pada hari ini, wilayah-wilayah ini berada di bawah kesultanan Sulu dan Brunei, terdapat juga wilayah yang tidak jelas sempadan penguasaanya terutama di Pantai Timur Sabah. Suku kaum di wilayah ini juga terdiri dari suku bangsa yang sama, sehingga hari ini sukar untuk membezakan warganegara berdasarkan suku kaum mereka dan tulisan kali ini akan memfokus kepada permasalahan OTN di kalangan kaum Suluk dan Bajau yang mendiami wilayah-wilayah di Pantai Timur Sabah dan Selatan Filipina.

Sempadan laut yang luas yang merentangi sempadan Malaysia dan Filipina memudahkan akses ulang-alik dari wilayah-wilayah di kedua-dua buah negara dan sehingga hari kerajaan Malaysia dan Filipina masih gagal menangani kemasukan tanpa izin kedua-dua negara melalui jalan laut. Buktinya sehingga hari ini penangkapan terhadap cubaan untuk memasuki kedua-dua buah negara hampir tidak berlaku.

Pada tahun 1970-an berlakunya perang di Selatan Filipina yang merupakan lanjutan dari perlawanan menentang kerajaan pusat di Manila. Selepas Persepakatan Tripoli 1976, berlaku peperangan bersenjata di antara pejuang Moro dan kerajaan pimpinan Ferdinand Marcos yang mengkhianati persekepatan tersebut. Perang yang merebak menyebabkan ramai rakyat dari Selatan Filipina melarikan diri dari daerah masing-masing. Walaupun Malaysia tidak pernah merektifikasikan Konvensyen Pelarian 1951, atas syor PBB, 4 penempatan khas pelarian perang dari Selatan Filipina didirikan di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Pelarian ini kemudiannya diberikan dokumen khas yang dikenali sebagai IMM13.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Negara Malaysia, setakat tahun 2010 terdapat hampir 900, 000 bukan warganegara di Sabah. Laporan Suruhanjaya Diraja berkenaan Pendatang (RCI) pula melaporkan jumlah pendatang tanpa izin di Sabah mencecah 500,000 ribu orang. Anggaran tepat jumlah OTN lebih sukar dibuat kerana tiada indikator yang boleh digunapakai untuk menentukan bilangan mereka. Jika kita membuat anggaran bahawa 70% dari PTI di Sabah adalah OTN, bilangan mereka mencecah 350, 000 orang, hampir 2 kali ganda populasi rakyat negeri Perlis.

Masalah OTN ini bermula apabila pemegang IMM13 dan PTI mula menetap, berkeluarga dan kemudiannya melahirkan anak di negara ini. Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang memberikan kerakyatan secara automatik berdasarkan kelahiran. Anak-anak yang lahir dari pemegang IMM13 tidak boleh mewarisi status ibu bapa mereka sebagai pelarian yang diiktiraf. PTI juga tidak mempunyai niat untuk kembali ke negara asal mereka, dan anak-anak mereka mewarisi status PTI mereka, namun permasalahan mereka lebih serius kerana mereka tidak didaftarkan di negara asal ibu bapa mereka dan juga di negara mereka dilahirkan menyebabkan status kerakyatan mereka tidak jelas.

Pemegang IMM13 dan PTI yang sudah puluhan tahun menetap di negara ini sukar untuk membuktikan mereka adalah penduduk asal Filipina, bayangkan bagaimana pula mahu membuktikan anak-anak dari generasi pertama dan kedua berasal dari negara tersebut, jikapun mereka mempunyai dokumen untuk membuktikan status mereka, kerajaan Filipina sudah tentunya keberatan untuk mengakui hubungan mereka dengan generasi yang lahir di luar negara mereka.

Seperti definasi yang dinyatakan di dalam Konvensyen 1954, OTP tidak mempunyai sebarang identiti yang boleh disandarkan. Perkahwinan yang berlaku sesama mereka, ataupun dengan mereka yang mempunyai dokumen tidak boleh didaftarkan di pejabat agama, dengan kata lain perkahwinan ini tidak dianggap wujud dari segi undang-undang syariah di negeri ini. Kesahan perkahwinan ataupun penceraian sekiranya berlaku, tidak dapat dibawa ke mahkamah syariah. Keadaan ini menyebabkan sekiranya berlaku tuntutan seperti fasakh, hadhanah atau nafkah OTP tidak dapat membawa kes mereka ke hadapan hakim. Status penceraian juga tidak dapat ditentusahkan, akhirnya berlaku masalah seperti perkahwinan bertindan.

masalah pendatang asing sabah

Inilah kesanya bila masalah pendatang asing Sabah tidak dibanteras sehingga jumlah mereka semakin ramai

Anak yang lahir dari perkahwinan tersebut, tidak boleh didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Kanak-kanak ini dari segi undang-undang, bukan sahaja tidak memiliki negara, tetapi juga tidak mempunyai ibu bapa!. Nama rasmi juga tidak dimiliki.

Kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen tidak akan menerima rawatan di hospital mahupun klinik kerajaan mahupun swasta sejak dari bayi. Mereka tidak menerima vaksinisasi, rawatan susulan atau sebarang rawatan untuk kawalan penyakit berjangkit. Tanpa kawalan kesihatan ia merupakan ancaman yang serius di masa hadapan.

Kos rawatan yang tinggi bagi bukan warganegara menyebabkan ramai di kalangan OTN tidak mendapatkan rawatan bagi penyakit kronik. Sukar untuk mengawal penyebaran.penyakit berjangkit di kalangan OTN disebabkan masalah ini. Sekiranya berlaku kematian, ia tidak dapat direkodkan disebabkan si mati tidak mempunyai sebarang pengenalan.

Kanak-kanak OTN kemudiannya membesar dan pada satu tahap, hak untuk mendapatkan pendidikan asas juga dinafikan, bagi yang berkemampuan, sekolah swasta menjadi pilihan, tetapi jumlah mereka tidak ramai.

Kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumentasi dan pendidikan mempunyai pilihan yang terhad untuk mendapatkan pekerjaan. Dengan status tanpa dokumentasi mereka terpaksa bekerja seawal usia 10 tahun dan terdedah kepada buruh kanak-kanak dan ‘perhambaan moden’. Mereka terpaksa bekerja dengan gaji yang rendah, tanpa caruman KWSP dan SOCSO, kerja melebihi 10 jam sehari, pemberhentian tanpa notis dan juga gangguan seksual dari majikan dan sesama pekerja. Pekerja dari kalangan OTN ini terpaksa bekerja dalam kondisi yang menyedihkan. Ramai yang bekerja di kedai-kedai makanan yang menyediakan makanan tidak halal dan minuman keras, kilang baja kimia tanpa pakaian pelindung dan juga kawasan pembinaan yang tidak mempunyai mekanisme keselamatan. Terdapat juga kanak-kanak yang digunakan oleh sindiket menjual keputusan wang ekor haram, rokok seludup dan menjadi peminta sedekah.

masalah pendatang asing sabah

Sebenarnya ada ramai PATI yang giat berniaga meskipun tanpa lesen dan permit malah ada di antara mereka yang menguasai kawasan pasar jualan secara haram (Gambar sekadar Hiasan). Hentikan masalah pendatang asing Sabah sebelum parah.

Melapor kepada pihak berkuasa bukan pilihan, kerana kewujudan mereka tidak diiktiraf dan bekerja tanpa dokumen merupakan kesalahan di sisi undang-undang. Menambahkan derita yang tak sudah, ramai dari kalangan mereka terpaksa berhadapan dengan anggota penguatkuasa yang tidak amanah. Pendapatan yang tidak seberapa terpaksa digunakan agar tidak ditahan.

Bagi yang tidak bekerja, ramai terpaksa berkahwin awal. Adalah perkara biasa perkahwinan di awal umur belasan tahun dan menjadi ibu atau bapa pada umur yang terlalu muda. Mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan berkenaan kaedah pencegahan kehamilan, banyak keluarga OTN yang mempunyai anak yang ramai. Keadaan ini akan terus berulang menambah bilangan kanak-kanak OTN

masalah pendatang asing sabah

Stateless! Itulah keadaan mereka di Sabah yang mencemari negeri ini. Namu masalah pendatang asing Sabah seperti ini harus diselesaikan dengan profesional.

Penceraian di kalangan keluarga OTN juga sering berlaku disebabkan oleh umur yang terlalu muda dan juga ilmu kekeluargaan yang dangkal. Anak-anak dari perkahwinan akhirnya menjadi mangsa, ramai yang membesar tanpa ibu bapa, diserahkan kepada keluarga terdekat , kenalan mahupun jiran untuk dijaga. Kanak-kanak ini akhirnya menjadi gelandangan yang terdedah kepada perlecehan seksual, perjudian, ketagihan syabu serta arak, gengsterisme dan senarai permasalahan yang tidak berhujung.

Tanpa dokumen OTN tidak layak untuk membeli hartanah dan pilihan yang ada ialah mendirikan rumah di kawasan setinggan. Tanpa sistem sanitasi, pencemaran disebabkan pembuangan sampah, bekalan air bersih, penyambungan elektrik secara haram adalah rangkaian masalah yang timbul.

Tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran OTN juga memberikan ancaman kepada keselamatan negara. Tanpa pemantauan terhadap bilangan mereka dengan tepat, ditambah kesukaran untuk mengawal pergerakan mereka yang terlalu ramai, kehadiran OTN bukan satu masalah yang boleh dipandang ringan.

OTN yang ditahan oleh pihak berkuasa tidak boleh dideportasi disebabkan tiada negara yang mengiktiraf mereka. Jutaan wang pembayar cukai terpaksa dibelanjakan setiap bulan untuk menampung kos tahanan OTN sahaja.

Perlu diakui bahawa sehingga hari ini tiada mekanisme yang benar-benar mampu menangani masalah ini. Sebagaimana status mereka, tiada jabatan atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengurus soal OTP ini
yang menyukarkan cadangan dan perlaksanaan dasar.

Terdapat cadangan untuk menerima OTN menjadi warga melalui kaedah naturalisasi, dengan mengiktiraf status mereka yang lahir di negara ini. Kewarganegaraan melalui permohonan juga merupakan salah satu kaedah yang dicadangkan.

Walaubagaimanapun ia hadir bersama ancaman dan rasa tidak puas hati khususnya dari kalangan pribumi. Sekiranya kehadiran mereka diiktiraf dan diberikan status PR atau Penduduk Tetap, generasi mereka akhirnya akan menjadi warganegara. Jumlah yang ramai ini sudah pastinya akan mengubah peta sosial negeri Sabah khususnya. Keadaan ini menimbulkan keresahan terhadap status quo pribumi dan menjadikan mereka minoriti di negeri sendiri.

masalah pendatang asing sabah

Masalah pendatang asing Sabah lebih kompleks. Tiada identiti dan tiada status sah kependudukan namun tinggal di negeri ini di masa yang sama berketurunan dan berkeluarga dari negara jiran.

Hampir kesemua OTN mengaku beragama Islam. Walaubagaimanapun pengamalan beragama di kalangan mereka amatlah menyedihkan. Tanpa pendidikan agama mereka hidup jauh dari identiti seorang Muslim. Judi, arak, zina, amalan khurafat menjadi sebahagian dari rutin. Amat malang lagi walaupun layak sebagai asnaf mereka tidak menerima bantuan zakat disebabkan status bukan warga. Jabatan agama juga seolah tidak berminat untuk campur tangan dalam soal ini.

Di dalam Konvensyen 1954 dinyatakan bahawa OTP hendaklah diberikan layanan sebagaimana status pendatang asing yang mempunyai negara. Beberapa artikel di dalam konvensyen.berkenaan mewajibkan agar OTP diberikan hak untuk pendidikan, kesihatan dan kebebasan bergerak. Soalnya sekira hak-hak ini diberikan apakah ia adil kepada warganegara yang membayar cukai yang sudah pastinya wang yang diperuntukkan untuk tujuan-tujuan tersebut terpaksa dikongsi bersama OTP.

Salah satu agenda yang perlu diberikan perhatian ialah memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak stateless. Pendidikan bukanlah kaedah yang tuntas dalam menyelesaikan permasalah ketanpanegaraan, tetapi ia mampu meminimakan impak sosial di masa hadapan.

Melalui pendidikan kanak-kanak stateless akan diberikan pendidikan asas membaca, mengira dan menulis yang merupakan survival kit untuk mereka. Pendidikan juga dapat menyalurkan pengetahuan mengenai undang-undang negara dan etika sebagai warga. Sekurang-kurangnya mereka akan mengetahui dan menghormati undang-undang negara.

Semua pihak harus memahami permasalahan ini, ia bukan sahaja ancaman dan masalah negeri Sabah, tetapi akan menjadi bencana kepada negara jika tidak ditangani sebaiknya. Permasalahan ini umpama ‘time bomb’ yang maha dasyat. Bayangkan jumlah ratusan ribu ini yang hidup tanpa negara, berhadapan dengan diskriminasi setiap hari, tanpa pendidikan dan agama, kemiskinan dan kemelaratan yang membelenggu, ia hanya memerlukan sedikit percikan untuk menghasilkan letupan.

Persoalannya siapa dan apa yang perlu ke depan untuk menyelesaikan konflik ini? Sehingga soalan itu terjawab, bilangan OTN akan terus bertambah dan bertambah dan ‘bom’ akan terus berdetik.

Haris Alimudin
Peguam &
Komrad Sukarelawan Muslim Sandakan (KOMNIS)

Masalah pendatang asing Sabah seharusnya diselesaikan segera sebelum berlakunya kerosakan demografi yang serius. Ini termasuklah keturunan, pola penduduk, percampuran budaya dan sebagainya.

Gerakan sukarela, NGO dan parti politik memainkan peranan untuk menyuarakan isu pendatang asing Sabah sebelum ianya menjadi rumit untuk diselesaikan.

Bacaan Menarik: Biodata Tun Mahathir dan Latar Belakangnya Yang Menarik

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*